Nur Muhammad Saaw #4
Qadhi 'Iyyadh al-Yahsubi dalam kitabnya "asy-Syifa` bi ta'riifi huquuqil Musthofa" mukasurat 83 meriwayatkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Sayyidina 'Abdullah bin 'Abbas r.anhuma bahawasanya :-
- Junjungan Nabi s.a.w. bersabda:-" Adalah roh baginda merupakan satu nur di sisi dua tangan Allah ta'ala (yakni di sisi qudrah dan iradah Allah ta`ala) sebelum diciptakan Nabi Adam 2000 tahun. Nur tersebut bertasbih dan bertasbih bersamanya segala malaikat. Maka apabila Allah mencipta Nabi Adam, disimpankan Nur tersebut ke dalam sulbinya. "
- Selanjutnya Junjungan s.a.w. menyambung: " Maka Allah telah menurunkan aku ke bumi dalam sulbi Nabi Adam, dan dijadikanNya aku dalam sulbi Nabi Nuh, dan diletakkanNya aku dalam sulbi Nabi Ibrahim, kemudian sentiasalah Allah ta`ala memindah-mindahkan aku dari sulbi-sulbi yang mulia ke rahim-rahim yang suci sehingga Dia mengeluarkan aku daripada kedua ibu bapaku, sedangkan mereka sekali-kali tidaklah berbuat keji (yakni semua leluhur Junjungan s.a.w. tidak pernah melakukan zina, semuanya bernikah secara sah).
Selanjutnya Qadhi Iyyadh menyatakan bahawa antara bukti untuk menguatkan kesahihan khabar ini adalah syair al-Abbas yang masyhur pada memuji Junjungan Nabi s.a.w. Mulla 'Ali al-Qari dalam syarahnya bagi kitab "asy-Syifa`" tersebut pada mukasurat 199, juzuk 1, menyatakan bahawa hadis ini diriwayatkan oleh Abu 'Amr al-'Adni dalam musnadnya. Beliau juga menyatakan bahawa pada kebanyakkan riwayat lafaz "Inna Quraisyan (Bahawasanya seorang quraisy (yakni Junjungan Nabi s.a.w.)" digunakan. Hadis inilah yang dinukil oleh Syaikh Wajihuddin 'Abdur Rahman ad-Diba`ie, yang juga seorang ahli hadis, dalam mawlidnya yang terkenal itu. Imam al-Haddad juga menukil hadis ini dalam kitabnya "Sabilul Iddikar", maka terserahlah kepada kalian.
Allahumma sholli wa sallim 'ala Nuril Anwar.
0 comments:
Post a Comment