Istighatsah – Fatwa Imam ar-Ramli
Ikhwah, kuperturunkan fatwa Imam ar-Ramli (yakni Imam Syihabuddin Ahmad bin Hamzah ar-Ramli al-Anshari dan diikuti oleh anakandanya Imam Syamsuddin Muhammad ar-Ramli al-Anshari pengarang “Nihayah” yang masyhur). Fatwa ini kupetik dari himpunan fatwa Imam Syamsuddin ar-Ramli yang dicetak di tepi himpunan fatwa Imam Ibnu Hajar al-Haitami yang berjodol “al-Fatawa al-Kubra al-Fiqhiyyah”. Pada jilid 4, mukasurat 382 – 383 tertulis (kira-kira bererti dengan terjemahan bebas):-
- (Ditanyai) mengenai apa yang dilakukan orang awam dari ucapan mereka sewaktu kesusahan “Ya Syaikh Fulan”, “Ya RasulAllah”, dan seumpamanya dari ucapan-ucapan istighatsah dengan para nabi, para rasul, para wali, ulama dan sholihin, maka adakah perkara ini jaiz (harus) atau tidak ? Dan adakah bagi para rasul, para nabi, para wali, sholihin dan masyaikh pertolongan (yakni memberi pertolongan) selepas mereka mati, dan apakah yang rajih pada yang demikian ?
- (Maka dijawab) Bahawasanya istighatsah dengan para nabi, para rasul, para wali, ulama dan sholihin adalah HARUS. Dan bagi para rasul, para nabi, para wali dan sholihin pertolongan selepas mereka mati kerana bahawasanya mu’jizat para nabi dan karamat para wali tidak putus dengan matinya mereka. Adapun para nabi maka mereka hidup di dalam kubur-kubur mereka, sembahyang mereka dan berhaji mereka seperti yang warid diberitakan dalam beberapa hadis, dan jadilah pertolongan daripada mereka mu’jizat bagi mereka. Para syuhada` juga hidup, disaksikan mereka itu dengan jelas memerangi segala kuffar. Adapun para wali maka ianya adalah karamah bagi mereka. Sesungguhnya Ahlul Haqq berpegang bahawasanya berlakunya karamah para wali dengan niat (sengaja) mereka atau tanpa ada sebarang niat adalah suatu perbuatan yang mencarik adat yang dilakukan oleh Allah ta`ala dengan sebab mereka. Dalil atas harusnya perkara ini berlaku adalah kerana ianya termasuk dalam perkara mumkin, oleh kerana itu tidaklah menjadi mustahil ianya untuk berlaku, maka setiap perkara seperti atas adalah harus untuk berlaku. Antara dalil berlakunya karamah ialah kisah Siti Maryam dengan rezeki yang dikurniakan Allah kepadanya sebagaimana diceritakan dalam al-Quran; kisah Sayyidina Abu Bakar dengan tetamu-tetamunya sebagaimana tersebut dalam kitab hadis shohih; kisah Sungai Nil banjir dengan sebab surat Sayyidina ‘Umar; kisah Sayyidina ‘Umar sedang atas mimbar di Madinah dapat melihat tenteranya di Nahawand serta boleh berbicara dengan panglimanya, di sini juga dapat diambil sebagai karamah bahawa tentera tersebut dapat mendengar kata-kata Sayyidina ‘Umar sedangkan antara mereka dengan Sayyidina ‘Umar jarak perjalanan 2 bulan; kisah Sayyidina Khalid meminum racun tanpa memberi mudarat. Dan telah berlaku berbagai perkara mencarik adat atas tangan para sahabat dan para tabi`in dan orang-orang yang selepas mereka yang tidak mungkin untuk diingkari ketawaturannya yang telah disepakati. Sebagai kesimpulannya, apa yang harus berlaku sebagai mu’jizat untuk nabi, haruslah berlaku sebagai karamah bagi wali. Tiada perbezaan antara keduanya selain daripada at-tahaddi (“mencabar” yakni mu’jizat itu sifatnya mencabar musuh atau melemahkan musuh).
Nak puas lagi sila rujuk perkataan asal Imam ar-Ramli. Tapi bodo – bodo aku pun faham bahawa istighatsah itu harus di sisi Imam ar-Ramli dan begitulah juga di sisi ulama-ulama kita yang lain. Inilah kedudukannya dalam Ahlus Sunnah wal Jama`ah.
Ada ustaz yang mengajar bahawa tawassul dan istighatsah itu benda khilaf, ada kata boleh ada kata tak boleh. Bagi aku ini tak 100% tepat dan amanah dalam menyampaikan ilmu. Khilaf memang khilaf, bi la kalam, tetapi kena faham kedudukan khilafnya, kena terang mana pendapat jumhurul ulama dan mana bukan. Ada pulak yang ajar songsang terbalik, pendapat jumhur dikatakan bukan jumhur, pendapat Ibnu Taimiyyah dan konco-konconya dikatakan pendapat jumhur, tak ke pening kepala kita.
Sebenarnya, JUMHUR ULAMA AHLUS SUNNAH WAL JAMA`AH mengharuskan dan membolehkan bahkan memandang baik amalan bertawassul dan beristighatsah dalam berdoa kepada ALLAH. Cuma segelintir kecil yang menolaknya seperti Ibnu Taimiyyah dan yang sewaktu dengannya. Jadi Pak-Pak Ustaz nak mengajar biar betul, biar amanah. Kalau kamu tak suka bertawassul itu hak kamu, tapi jangan sembunyi fakta sebenar. Umat yang bertawassul dan beristighatsah itu punya sandaran dan pegangan kuat kepada JUMHURUL ULAMA.
Ya Haqqu Ya Haqq, Unshurniy ‘alal-haqq
0 comments:
Post a Comment