Istighatsah – Fatwa Syaikh Daud al-Fathani


Ikhwah, kupetik fatwa Syaikh Daud al-Fathani rhm. dari kitabnya “Furu’ Masa-il” yang merupakan nukilan fatwa Syaikh Jamaluddin Ahmad ar-Ramli al-Kabir, yakni ayahanda kepada Syaikh Syamsuddin Muhammad ar-Ramli (Imam Ramli) yang turut dimuatkan dalam fatwa anaknya tersebut, lain kali aku postkan fatwa Imam ar-Ramli tersebut. Kata Syaikh Daud pada mukasurat 10 – 11, jilid 1:-
  • (Su-ila r.a) Tiada barang yang jatuh daripada orang yang awam daripada kata mereka itu tatkala kedatangan kesukaran dan kesakitannya “Ya Sayyidi Ya RasulAllah” atau “Syaikh Fulan” dan yang seumpamanya daripada teriak minta tolong dengan anbiya` dan mursalin dan awliya`Ullah ash-sholihin dan ulama, maka adakah harus yang demikian itu atau tiada harus, dan adakah bagi mursalin dan anbiya` dan awliya` dan sholihin dan masyayikh menolong kemudian daripada mati mereka itu, apa yang terlebih rajih pada yang demikian itu ?

  • (Maka dijawabnya) Dengan bahawasanya minta tolong dengan anbiya` dan mursalin dan awliya` dan sholihin HARUS dan adalah bagi mereka itu tempat minta tolong kemudian daripada mati mereka itu kerana mu’jizat anbiya` dan karamah awliya` tiada putus dengan mati mereka itu. Adapun anbiya` maka mereka itu hidup ia di dalam kuburnya, sembahyang mereka itu dan haji mereka itu seperti barang yang datang warid bagi beberapa akhbar dan jadilah menolong itu mu’jizat baginya. Dan adapun syuhada` demikian pula ia hidup di dalam kubur seperti barang yang dilihat dengan nyata datang berperang pula dengan kuffar. Dan adapun awliya` maka iaitu karamah bagi mereka itu. Maka bahawasanya kata Ahlul Haqq bahawasanya jatuh daripada awliya` dengan qasad dan dengan tiada qasad pekerjaan mencarikkan bagi adat dan dilakukan Allah ta`ala dengan sebab mereka itu disampaikan hajat kerana adalah yang demikian itu pekerjaan yang mumkin tiada muhal, maka tiap-tiap ada inilah kelakuannya, maka tanda adalah pekerjaan itu sudah dilihat akan jatuhnya ialah tanda harus seperti yang telah diceritera datang Sungai Nil dengan dijatuhkan surat Sayyidina ‘Umar dan ceritera Siti Maryam dan lainnya. Intaha daripada Fatwa Syaikh Ahmad ar-Ramli al-Kabir.

Harap ikhwah sekalian faham Bahasa Melayu Syaikh Daud al-Fathani tersebut. Kalau tak faham tanyalah dengan Tok Guru yang faham, jangan tanya dengan Ustaz Wahhabi nanti lain pulak tafsirannya. Khulasah penting fatwa tersebut dapat dirangkaikan seperti berikut:-
  1. Istighatsah / Minta Tolong / Teriak Minta Tolong, contohnya “Ya RasulAllah, tolong bantu aku”, “Madad Ya Sidi Ahmad” dan sebagainya, hukumnya HARUS, bukan syirik.
  2. Tetap dihukumkan harus beristighatsah dengan para nabi, para wali dan sholihin walaupun mereka telah meninggalkan dunia yang fana ini.
  3. Mu’jizat para nabi dan karamah para wali tidak putus dengan mati mereka. Jadi tak ada istilah nabi atau wali “pencen” dalam kamus kita Ahlus Sunnah wal Jama`ah.
  4. Allah ta`ala adalah Pembuat / Pelaku / Fa`il dalam setiap perkara.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Share